BANGI, Selasa – Kerajaan Persekutuan tidak akan berubah meskipun Perikatan Nasional (PN) mendominasi semua enam negeri pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15), Sabtu ini.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kemenangan PN pada PRN berkemungkinan besar tidak akan membawa kepada pertukaran Kerajaan Pusat atas dua faktor utama.
“Akta Lompat Parti menghalang Ahli-Ahli Parlimen berbuat demikian sehingga menjejaskan sokongan kerajaan serta mengambil kira sokongan blok Sabah dan Sarawak.
“Tetapi benda yang boleh berlaku dalam PRN, barangkali akan memberi impak terbesar kepada UMNO (sekiranya parti itu kalah di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri).
“Kalau UMNO ini terimpak, maka jika ada tekanan daripada UMNO kepada Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan katakanlah worst case scenario Ahmad Zahid jatuh dari UMNO, maka UMNO boleh melompat 30 kerusi ke PN,” katanya.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, sekiranya situasi itu berlaku, maka Kerajaan Persekutuan mungkin berubah, memandangkan perubahan sokongan secara ‘en bloc’ atau bersama keseluruhan dibolehkan.
“Jadi bila itu berlaku, maka bolehlah (kerajaan) tumbang. Cuma sejauh mana pula hal-hal yang terkait UMNO boleh jadi sebegitu.
“Dan tentulah perlu ambil kira Sabah, Sarawak sama ada nak ikut atau tidak tetapi secara peribadi saya rasa boleh kut kerana mereka berasakan siapa juga jadi kerajaan tiada masalah, yang penting negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sukar dan hampir mustahil untuk berlaku perubahan di peringkat pusat walaupun PN berjaya mendominasi enam negeri pada pilihan raya kali ini.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa akan berlaku perubahan dalam Kerajaan Persekutuan sekiranya PN memenangi kesemua enam negeri tersebut.
Ketika berucap pada satu majlis di Sendayan, Negeri Sembilan, Abdul Hadi berkata, rakyat perlu menunjukkan sokongan dengan memastikan kemenangan calon PN yang bertanding dalam PRN.