PUTRAJAYA, Selasa – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai panel tiga hakim menarik diri daripada mendengar rayuan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah beliau bagi menuntut ganti rugi RM10 juta terhadap Tan Sri Lim Kit Siang.
Rayuan Mohamed Apandi akan didengar oleh panel Mahkamah Rayuan yang lain kerana Hanipah pernah memutuskan kes permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 11 November 2016 membabitkan keputusan Mohamed Apandi menutup siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berkaitan dengan perkara dalam rayuan itu.
Hanipah yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan demikian dengan alasan demi kepentingan keadilan.
Dalam kes tersebut, Hanipah membuat keputusan itu ketika menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap Mohamed Apandi.
Khairuddin mencabar keputusan Mohamed Apandi bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah berhubung derma RM2.6 bilion, pemindahan dana oleh SRC International ke dalam akaun bank peribadi beliau dan pinjaman oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.
Kit Siang hadir bersama peguam Sangeet Kaur Deo manakala Mohamed Apandi diwakili peguam M Rueben.
Hanipah berkata demikian selepas membenarkan permohonan peguam mewakili Kit Siang supaya beliau menarik diri daripada mendengar rayuan itu, yang membangkitkan perkara berkenaan pada awal prosiding.
Pendengaran rayuan berkenaan akan didengar panel baharu pada 4 September ini.