BANGI, Selasa – Pemimpin PEJUANG menggesa Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun untuk menjelaskan sebab Datuk Raja Rozela Raja Toran digugurkan sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tindakan itu diambil selepas New Straits Times melaporkan bahawa Raja Rozela telah dikeluarkan daripada kes tersebut dan tidak hadir semasa prosiding minggu lalu.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata dalam satu kenyataan, Raja Rozela telah mengetuai pasukan pendakwaan sejak awal kes sehingga Ahmad Zahid dipanggil membela diri.
Tambah Muhammad Rafique, Peguam Negara tidak boleh berdiam diri dan mesti memberikan penjelasan tentang perkara itu.
Beliau juga menegaskan, Raja Rozela sudah mengendalikan kes Yayasan Akalbudi sejak awal dan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Presiden UMNO itu.
“Jadi mengapa perlu menggantikan Timbalan Pendakwa Raya sekarang? Peguam Negara tidak boleh berdiam diri. Rakyat sedang memerhati dan menilai,” katanya dalam catatan di Facebook.
Ahmad Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) melibatkan jutaan tinggit daripada Yayasan Akalbudi, yang diasaskannya dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.
Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan rasuah manakala 27 bagi pengubahan wang haram.
Minggu lalu, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya mempertimbangkan representasi Ahmad Zahid berhubung kes rasuah beliau yang sedang berjalan.