SHAH ALAM, Selasa – Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga merupakan antara kerusi marginal dalam kajian ENDEAVOUR-MGC (EMGC) berhubung sentimen dan saingan antara parti politik.
TV Pertiwi turun ke lapangan meninjau pergerakan tiga calon daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan MUDA.
Bagi calon MUDA, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen atau lebih dikenali sebagai Cheda Razak berkongsi, dapatan hasil tinjauan daripada kempen beliau, rata-rata penduduk Batu Tiga meluahkan isu pembangunan di kawasan itu.
“Isu yang paling utama bila saya turun padang, kenapa Batu Tiga tidak setaraf Kota Anggerik. Penduduk luah kenapa Batu Tiga orang ingat B40, bila Kota Anggerik T20.
“Jadi mereka suruh saya bawa pembangunan, lebih banyak kemudahan, lebih banyak tarikan. Bila mereka luah, baru saya perasan kedua-dua pembangunan di dua DUN ini tidak seimbang,” katanya.

Syed Saddiq turun membantu kempen calon MUDA, Cheda Razak (tengah) di Pasar Malam Seksyen 19.
Pengalaman selama 15 tahun dalam bidang korporat strategik, politik, kerajaan dan khidmat rakyat menjadi sandaran kepada calon PH, Danial Al-Rashid Haron dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) di Selangor kali ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PH Selangor dan Ketua Pemuda AMANAH Selangor bertekad untuk menangani isu pembangunan di DUN Batu Tiga agar terkehadapan selari dengan kepesatan Shah Alam yang juga ibu negeri Selangor.
“Banyak perkara yang boleh kita tambah baik terutamanya dari sudut infrastruktur di Batu Tiga dan saya nampak potensinya kepada kemajuan yang kita boleh bina bersama adalah untuk masyarakat yang ada di sini.
“Selain itu, struktur sosial dan program-program yang bersifat pembangunan juga akan dilaksanakan memandangkan kawasan ini memerlukan sokongan daripada pimpinan masyarakat untuk menaikkan taraf sosial di sini,” katanya.

Danial (tengah) menyantuni penduduk DI Kg Padang Jawa. Foto: FB Danial Al-Rashid
Sementara itu, calon ‘heavyweight’ PN, Datuk Seri Rina Harun mendapati banyak ruang yang boleh ditambah baik di kawasan tersebut antaranya memastikan tiada penduduk yang tercicir daripada menerima bantuan kebajikan.
“Shah Alam ini adalah ibu negeri Selangor dan Selangor telah diisytiharkan sebagai negeri maju sejak tahun 2005, maksudnya dah 18 tahun.
“Bila kita bersama dengan mereka (pengundi) mungkin luarannya nampak cantik, cuba kita duduk, kita masuk, kita dengar luahan hati mereka rupanya masih ramai lagi yang memerlukan bantuan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi sokongan moral dan sebagainya.
“Jadi di DUN Batu Tiga ini, kita tidak mahu ada masyarakat yang tercicir daripada menerima bantuan-bantuan kebajikan,”katanya.

Rina Harun (kanan) menyantuni penduduk di Seksyen 18, Shah Alam. Foto: FB Rina Mohd Harun
DUN Batu Tiga mempunyai seramai 75,486 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.