SHAH ALAM, Selasa – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor diberi masa sehingga hari ini untuk meminta maaf secara terbuka serta membayar ganti rugi RM200 juta kepada Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.
Gagal berbuat demikian, Vincent Tan bakal memfailkan saman terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.
Susulan itu, setakat tengah hari ini tiada permohonan maaf dibuat Muhammad Sanusi.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung kenyataan Muhammad Sanusi pada 2 Ogos lalu.
“Setakat ini tiada laporan polis dibuat, tiada laporan lagi dibuat itu mungkin kenyataan, laporan belum dibuat lagi,”katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau perjalanan proses undi awal melibatkan anggota dan pegawai di IPK Selangor pagi tadi
Sebagai rekod, tuntutan itu dibuat melalui surat tuntutan yang dihantar oleh firma guaman Piere Chuah & Associates yang mewakili Vincent Tan dan syarikat Berjaya Land Berhad pada 4 Ogos lalu.
Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah membabitkan Vincent Tan sebagai korup serta kroni kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selain didakwa memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.
Selain permohonan maaf dan ganti rugi, Muhammad Sanusi juga dituntut untuk memberikan akujanji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan fitnah tersebut terhadap Vincent Tan mahupun Berjaya.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Vincent Tan dan Berjaya, mereka menafikan kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi.