BANGI, Selasa – PEJUANG sudah ‘tawar hati’ dengan Perikatan Nasional (PN) apabila berkali-kali menolak permohonan mereka untuk menjadi rakan komponen dalam gabungan tersebut.
Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu telahpun menerima hakikat bahawa permohonan mereka untuk menyertai rakan gabungan PN telah ditolak walaupun tiada surat rasmi yang diterima.
“Setakat ini kami telahpun menerima hakikat bahawa permohonan kami ditolak walaupun kami tidak menerima surat secara rasmi.
‘Sekarang pun PRN sudah berjalan, jadi tak timbul lagi hal nak sertai PRN.
“Seminggu sebelum penamaan calon kami ada maklumkan PEJUANG tak bersama dalam PRN.
“PRN kali ini kita cenderung satu pihak atas sebab atau prinsip untuk tidak memecahkan undi Melayu,” ujarnya.
Jelas Mukhriz, hala tuju PEJUANG selepas ini akan ditetapkan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini.
Walaupun ditolak PN, PEJUANG tetap dengan pendirian untuk tidak bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang kini sudah berkawan baik bersama UMNO.
“Tak minat.
“Saya ingat dah dua kali jadi MB cukup, bagi peluang kepada orang lain pula.
“Masalah saya dengan PH sebab dia dah bekerjasama dengan BN, jadi kami dah kata sebelum ini dimana ada UMNO disitu kami tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TV Pertiwi di Bangi, semalam.
Sebelum ini, TV Pertiwi melaporkan bahawa PEJUANG menghantar rayuan untuk menyertai gabungan PN walaupun telah ditolak gabungan tersebut.