SHAH ALAM, Rabu – Isu projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) berkaitan pembersihan Sungai Klang dan usaha sama dengan syarikat Berjaya Land Sdn Bhd kian mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.
Ia susulan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terlibat skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek tersebut.
Justeru, memandangkan SMG yang dilihat berkepentingan rakyat ini diselubungi kontroversi dan pelbagai persoalan, Proklamasi Orang Melayu mencadangkan projek tersebut dibatalkan dan diserahkan kepada Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).
Bendaharinya, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah turut mempersoalkan, mengapa syarikat di bawah kerajaan negeri ini tidak dilibatkan secara terus dalam pembinaan infrastruktur seperti projek SMG.
“PKNS telah memainkan peranan yang cukup besar , banyak projek yang dilakukan di negeri ini.
“Persoalan kenapa tidak diserahkan kepada mana-mana badan kerajaan yang lain yang mempunyai potensi untuk membangunkan, menyelesaikan masalah negeri Selangor, mengapa tiba-tiba kita bagi kepada orang lain?” katanya.
Bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Shah Alam pada Rabu, Proklamasi Orang Melayu juga mempersoal mengapa kerajaan Negeri Selangor sanggup menjalin kerjasama dengan memberi kepentingan majoriti kepada syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja penting ke atas Sungai Klang.
Antara persoalan lain, bagaimana proses pemilihan Berjaya Land dalam usahasama memandangkan skop dan terma berubah daripada Request For Proposal (RFP) sebelum ini.
“Adalah hak rakyat untuk bertanya, soalan-soalan itu merupakan persoalan, saya tidak menuduh, semua ini datang dari hati kita hendah bertanya.
“Kita tidak mengatakan salah atau betul, kalau betul Alhamdulillah, tetapi kita nak soalan kita dijawab,” katanya.
Katanya lagi, persoalan yang timbul harus diulas dengan teliti dan bukannya mengalihkan perhatian dengan pelbagai tindakan mahkamah.

Projek SMG.
Dalam perkembangan sama, Amirudin kesal isu berkenaan masih lagi dimainkan sebagai modal politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri di Selangor.
Malah, Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad menuntut permohonan maaf secara terbuka serta pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Muhammad Sanusi susulan dakwaan beliau membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai projek SMG.