BANGI, Rabu – Parti BERJASA menggesa semua calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN KE 15) untuk menghentikan amalan berkempen politik dengan menghina dan memburuk-burukkan antara satu sama lain.
Presidennya, Zamani Ibrahim menegaskan bahawa amalan berpolitik sedemikian tidak layak untuk ditonjolkan pemimpin sebuah parti masyarakat yang membawa agenda negara.
Zamani turut menyarankan calon PRN kali ini bersikap matang dengan mengemukakan matlamat parti untuk memajukan negeri dan dasar dalam menyelesaikan isu rakyat.
“Ini yang saya sarankan pada mana-mana calon yang jumpa sepanjang kempen dua minggu ini,” katanya dalam video dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Presiden BERJASA itu sekali lagi menjelaskan sebab pihaknya tidak menghantar calon kerana mengambil pendekatan pilihan raya kali ini hanya dua penjuru sahaja.
Zamani turut mengulangi gesaannya terhadap pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab dan memilih calon terbaik pada hari pengundian di enam negeri, Sabtu ini.
“BERJASA mengharapkan supaya pengundi keluar beramai-ramai dan pilihlah calon yang terbaik, boleh menjaga hak agama, hak bangsa dan bukannya calon yang sekadar bercakap tetapi tidak mampu membawa negeri jauh ke hadapan.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, keluar beramai-ramai tunaikan kewajiban kalian untuk mengundi. Inilah kuasa yang perlu kita tunjukkan dalam PRN kali ini,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, BERJASA melancarkan kempen ‘Melayu Turun Undi’ bagi menggalakkan orang Melayu keluar mengundi pada pilihan raya dan bersatu mengangkat pemimpin berwibawa.
BERJASA juga mengerahkan seluruh ahli parti dan sukarelawan untuk memantau proses demokrasi dalam PRN 2023 menerusi kempennya itu.