BANGI, Rabu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah merampas al-Quran bernilai RM453,600 kerana tidak mematuhi akta Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 setakat Jun tahun ini.
Susulan itu, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yusof berkata, kerajaan telah meluluskan Akta Pencetakan Teks Al-Quran (Pindaan) 2023 bagi memperkasa tadbir urus hal ehwal pencetakan.
Ini termasuk penjualan, pengimportan, penerbitan dan pengedaran teks Quran bagi memartabatkan kesucian ayat Al-Qur’an.
“Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) telah membuat beberapa ketetapan iaitu meluluskan pelupusan terhadap 2,513 naskhah teks Al-Qur’an dan 10,788 unit bahan Al-Qur’an dari seluruh negara.
“Pelupusan ini dilaksanakan terhadap teks atau bahan Al-Qur’an yang tiada perakuan KDN, kesilapan pada ayat, rosak dan usang,” katanya dalam kenyataan itu.
Malah, LPPPQ turut melarang penjualan dan pengedaran serta pengimportan terjemahan Al-Qur’an tanpa Teks Bahasa Arab dengan menetapkan panduan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an terbitan JAKIM.
Kata Nik Yusaimi lagi, Al-Qur’an import hendaklah mematuhi prosedur permohonan, semakan dan perakuan sebagaimana di bawah Seksyen 7 APTQ 1986 sebelum dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia.
Dalam perkembangan lain katanya, LPPPQ turut memutuskan pelaksanaan program berimpak ‘Jom Exchange Al-Qur’an’ (JEQ) diteruskan di seluruh negara dalam misi ‘Ke Arah Sifar Al-Qur’an Tiada Perakuan KDN’.
Justeru, beliau menegaskan KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan ataupun pengedaran Al-Qur’an yang menyalahi Akta tersebut.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu terlibat boleh dihukum sehingga 5 tahun penjara dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.