BANGI, Rabu – Inisiatif kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diinstitusikan segera agar tujuh sasaran yang ditetapkan itu dapat dicapai.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali menggesa kerajaan untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan dasar ekonomi selama 10 tahun itu dapat dilaksanakan seperti yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Bagi saya perlu ada satu pasukan yang dedikasi. Setidak-tidaknya pengalaman kita semasa era Datuk Seri Najib dengan adanya Pemandu, beliau ada satu pasukan untuk bekerjasama dengan kementerian.
“Pasukan tersebut diberikan mandat dan kuasa untuk menyerahkan laporan terus kepada Perdana Menteri berkaitan kemajuan yang dicapai.
“Mereka merancang bersama kerajaan dan kementerian sebagai induk kepada setiap sektor. Mereka perlu bekerjasama dengan sektor terbabit (misalnya) bagaimana hendak meningkatkan perdagangan supaya dapat semula kedudukan sebagai peneraju ekonomi Asia,” katanya.
Tambah Noor Azlan, setiap perancangan dalam Ekonomi Madani memerlukan kerjasama pelbagai jabatan, kementerian dan swasta untuk mencapai hasil yang diinginkan.
Jelasnya, semua pihak perlu berganding bahu untuk melaksana tujuh sasaran yang dirancang dalam kerangka ekonomi tersebut.
“Contohnya seperti Perdana Menteri sebut Specialty Chemistry high value E&E, beliau mungkin memerlukan infrastruktur daripada Jabatan Kerja Raya, memerlukan tenaga manusia datang daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, memerlukan Kementerian Sumber Manusia.
“Kementerian Sumber Manusia sahaja tidak boleh hendak kawal pekerja asing. Semua tindakan ini tidak boleh dilakukan secara sendirian,” tambah beliau.
Noor Azlan berkata demikian pada sidang media khas Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat Mencapai Sasaran anjuran MINDA-UKM di Bangi, hari ini.
Noor Azlan turut menjelaskan bahawa negara juga boleh menurunkan defisit fiskal kepada tiga peratus atau lebih rendah melalui Akta Tanggungjawab Fiskal.
Ekonomi Madani mensasarkan tujuh misi utama antaranya pertumbuhan ekonomi, kemampanan fiskal serta pekerjaan dengan gaji yang bermakna.