BANGI, Rabu- Satu persatu tiang undang-undang Syariah di negara ini mula dicabar.
Bertitik tolak kepada kes Iki Putra melawan Mahkamah Syariah Selangor, sekali lagi pada tarikh 17 Ogos depan undang-undang syariah dicabar kembali.
Pada 9 November 2018, Iki Putra Mubarak antara lima lelaki yang ditahan didakwa mengadakan pesta seks songsang di sebuah apartmen dua tingkat di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Iki kemudian didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan disabitkan kesalahan Seksyen 52(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dibaca bersama Seksyen 28 enakmen sama iaitu percubaan untuk melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.
Mahkamah Tinggi Syariah juga memutuskan dia dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000, atau dipenjarakan tidak lebih lapan bulan atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Iki Putra antara 11 orang dan lima daripadanya mengaku tidak bersalah.
Iki Putra antara yang mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal serta membicarakan kes jenayah liwat.
Beralih kepada, asal usul sebenar kronologi kes Iki Putra Mubarak , sewaktu 21 Ogos 2019, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.
Tahun 2020 pula menyaksikan, Iki Putra menzahirkan rasa tidak puas hati dengan pertuduhan yang diberikan oleh Mahkamah Syariah pada ketika itu, lantas mencabar peruntukan Seksyen 28 EJSS 1995.
Menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor – Seksyen 28 memperuntukkan mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang dibuat oleh Iki Putra terhadap Seksyen 28 EJSS 1995 dan sekali gus mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.
Keputusan sembilan hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Mahkamah Negara, Tun Tengku Maimun Tuan kemudian memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor, Seksyen EJSS 1995 yang menyatakan bahawa seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.
Atas alasan, Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan jenayah liwat kerana kesalahan jenayah adalah di bawah kuasa persekutuan serta undang-undang Persekutuan (Kanun Keseksaan).
Panel sembilan hakim selain Ketua Hakim Negara, Tun Tengku MaimunTuan Mat membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan terdahulu, Tan Sri Rohana Yusof yang kini sudah bersara.
Bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Azahar Mohamad yang kini merupakan seorang peguam dan Hakim Mahkamah Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Panel juga melibatkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Mohd Salleh yang kini merupakan seorang peguam.
Manakala, panel turut menyaksikan penglibatan barisan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu, Datuk Nalini Padmanabhan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan akhir sekali Datuk Hasnah Mohd Hashim.
Kes Iki putra mencetuskan kebimbangan oleh seramai 200 orang peguam dan peguam syariah terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Mereka gusar terdapat banyak lagi peruntukan enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang sedia ada mungkin bakal dicabar dan menerima nasib sama seperti EJS Selangor 1995.
Bukan sahaja pengamal undang-undang, badan bukan kerajaan turut menzahirkan kebimbangan mereka terhadap masa depan perundangan syariah.
Sehubungan itu, pada Mac 2021, 21 kumpulan NGO, mendesak agar kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii terus disiasat di bawah Kanun Keseksaan.
Pengamal undang undang melihat, Kes Iki putra ibarat teori dominos, kerana ia beoleh membuka pintu seluas-luasnya bagi melahirkan satu lagi kes yang dinamakan sebagai Nik Elin.
Pada 22 Mei 2022, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasya Tengku Abdul Rahman memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I).
Antara 21 peruntukan yang mahu dicabar oleh Nik Elin merupakan, Seksyen 5 (dakwaan palsu), Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat).
Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 15 (hukuman liwat) serta beberapa lagi seksyen yang tertera.
Selain itu, 21 peruntukan yang akan dicabar berkenaan turut membabitkan Seksyen 36 tentang apa-apa yang mengkhayalkan, Seksyen 37 iaitu perjudian, Seksyen 39 yang melibatkan pengurangan sukatan dan timbangan.
Manakala selebihnya, adalah Seksyen 44 yang melibatkan perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat, Seksyen 45 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan maksiat serta Seksyen 47 berhubung kes sumbang haram – dan seksyen 48 muncikari – adalah antara seksyen sekyen yang bakal di cabar dalam kes Nik Elin.
Permohonan mencabar 21 Seksyen di bawah Enakmen Jenayah Syariah Kelantan ini dikatakan bersandarkan atau dirujuk kepada keputusan Iki Putra di Selangor.
Sekaligus cubaan untuk menafikan Negeri Kelantan pula yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkenaan.
Dalam pada itu, media turut melaporkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut diminta untuk turut serta mencelah ketika hari prosiding isu cabaran Nik Elin.
Manakala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar menyeru kepada seluruh pihak berkuasa agama Islam negeri, badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama untuk turun melibatkan diri dalam kes Nik Elin Zurina sebagai pencelah atau sahabat mahkamah iaitu amicus curie.
Justeru, tarikh 17 Ogos ini, menjadi titik penentuan, apakah ia memberi impak dominos terhadap enakmen jenayah syariah di semua negeri-negeri di Malaysia.