BANGI, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyeru para pengundi agar tidak menyokong mana-mana calon yang kurang mengambil berat tentang cabaran terhadap Perundangan Syariah negara dan penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu.
Ahli Majlis Penasihatnya, Ustaz Masridzi Sat berkata, agama Islam sedang terancam dengan begitu tenat, namun calon-calon bagi pilihan raya akan datang tidak menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan Undang-Undang Syariah.
Masridzi juga menasihatkan agar para pengundi memilih calon yang boleh memperjuangkan undang-undang syariah dan agama Islam.
“Dan kita juga menyeru jangan ada tuan-tuan, orang politik, yang calon-calon walaupun dia Islam, dia tak minat nak cerita bab Undang-Undang Syariah, tak perlu undi orang macam itu. Buang masa sahaja. Sebab dia tak tahu agama kita sedang terancam begitu tenat, di mahkamah sendiri dan kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pemegang taruh agama pun terancam.
“Jadi ini yang sepatutnya diberi keutamaan. Sesiapa yang mengundi, umat Islam khususnya, undi lah calon yang boleh memenangkan undang-undang Islam, memenangkan Islam. Itu saranan saya, InsyaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media PEMBELA berkaitan cabaran ke atas perundangan syariah dan penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu, di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu belia turut meluahkan rasa kecewa kerana sehingga sekarang, tiada calon dari mana-mana parti yang memberikan tawaran untuk memperkasakan undang-undang syariah ketika sibuk berkempen.
“Mana yang penting, mana yang perlu diberi tumpuan, yang itu patut diberi tumpuan. Tetapi benda yang tak penting, itu pula yang dibesar-besarkan.
“Jadi bagi kita, kemelut yang kita ada sekarang, kita tak nampak lagi mana parti politik yang beri ‘offer’ sekiranya kami diberi peluang, memenangi pilihan raya pada kali ini, kita akan perkasakan segera Mahkamah Syariah dan kita akan tingkatkan pindaan-pindaan supaya pihak-pihak ini tidak boleh lagi menganggu gugat kuasa Raja-Raja Melayu yang memegang taruh agama dan kita tak akan kalah lagi selepas ini.
“Beri tawaran macam itu, baru wajar umat Islam, 21 juta dalam negara ini nak beri undi pada kamu,” katanya.
Pada 5 Ogos lalu, PEMBELA memaklumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bersetuju dengan pihaknya berhubung keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan demi menyelamatkan undang-undang syariah negara.
PEMBELA memetik kata-kata Dr Zulkifli, yang menyifatkan kes Iki Putra bakal memberi kesan domino iaitu boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah di peringkat negeri.
Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor namun telah mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.