BANGI, Khamis – Perikatan Nasional menafikan pihaknya mengarahkan untuk menggantung kain rentang bertulis ‘undi PN masuk syurga’ serta ‘orang muda akan sesat dan rosak jika undi kerajaan perpaduan’ di tempat awam di seluruh negeri Selangor.
Susulan itu, Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pihaknya sedang mengumpul beberapa aduan berkenaan kain rentang tersebut untuk tindakan lanjut.
“Dalam kesempatan ini juga saya nak tekankan satu perkara yang berlaku malam tadi, kain rentang ‘undi PN sama dengan undi PAS dan masuk syurga’. Ini bukan kerja kami, ini kerja orang tidak bertanggungjawab.
“Kami telah mengarahkan jentera kami seluruh negeri Selangor dinaikkan benda ini. Kita dalam pentas demokrasi ini patut kita lawan secara demokratik. Kamu keluar benda jahat seperti ini dan kita akan buat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab tentang perkara ini.
“Kita hendak rakyat negeri tahu bahawa mereka tidak dapat menghadapi kita secara baik, dia gunakan taktik jahat seperti ini,” beliau berkata demikian ketika ditemui TV Pertiwi pada sidang media PN Selangor di Bilik Gerakan Utama, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor hari ini.
Menurut Roslan, perkara tersebut tidak pernah terlintas dalam agenda PN dan ia adalah jelas dilakukan oleh pihak musuh serta lawan yang bertujuan memecahbelahkan masyarakat.
Roslan juga berharap agar pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap perkara yang tidak bersifat demokrasi itu dan melakukan siasatan kerana ia jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Malah, kain rentang tersebut juga akan diturunkan dengan kadar segera serta beliau juga sedang mengumpulkan aduan dan bukti untuk membuat laporan polis.
Terdahulu, PN Selangor mengesan kain rentang tersebut pada pagi tadi dan yakin ia dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab sekitar malam tadi.
Sementara itu, Setiausaha BERSATU Selangor, Datuk Azman Yaakob berkata, beliau turut menganggap pihak lawan terdesak untuk memastikan PN tersekat dari segi gelombang yang sedia ada.