KUALA LUMPUR, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyelar para pemegang taruh agama kerana tidak mampu mempertahankan sistem perundangan Syariah negara dengan menyifatkan perkara itu sebagai kegagalan yang sangat teruk.
Ahli Majlis Penasihatnya, Ustaz Masridzi Sat berkata, pemegang taruh agama telah bersumpah untuk menjaga kedaulatan agama tetapi realitinya Islam seolah-olah dibuli dan sangat lemah di negara sendiri.
Masridzi juga berkata, Undang-Undang Syariah sudah dicabar melebihi 12 kes sejak negara mencapai kemerdekaan, termasuk isu melibatkan kalimah Allah dan mengalami kekalahan yang teruk dalam kesemuanya.
“Tapi kita lihat 65 tahun kita merdeka, dah lebih 12 kes kita dicabar. Kalah yang memalukan. Termasuk kes kalimat Allah baru-baru ini. Jadi ini satu benda yang kita melihat, kegagalan yang sangat tenat. Kepada pemegang taruh agama, kalau kena pukulan itu dah 12 ‘round’ tumbang.
“Seolah-olah macam itu. Jadi tiada maruah ke? Tiada malu ke? Sedangkan pemegang taruh agama ini memegang dengan sumpah bahawa mereka akan menjaga agama, menjaga kedaulatan agama dalam negara kita. Hakikat yang berlaku, realitinya, kita dibuli, kita kalah, kita lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media PEMBELA berkaitan cabaran ke atas perundangan syariah dan penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur semalam.
Masridzi juga menyelar sifat tidak serupa bikin sesetengah pemimpin yang sanggup membiarkan Undang-Undang Syariah dibuli dalam mahkamah negara sendiri serta mengatakan bahawa umat Islam di Malaysia sepatutnya berasa malu dengan kekalahan itu.
“Kalau dalam sistem tauliah pun kamu peningkan kepala para pendakwah, ini Undang-Undang Syariah kita kena buli di mahkamah. Undang-Undang di mahkamah kita sendiri, mahkamah kerajaan kita dah kalah banyak kali, sepatutnya lebih malu lagi kerana ini benda dasar yang lebih besar lagi yang sepatutnya kita beri tumpuan. Tapi kita tak beri tumpuan. Ini yang kadang-kadang saya katakan, banyak cakap tak serupa bikin.,” tegasnya.
Pada 5 Ogos lalu, PEMBELA memaklumkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bersetuju dengan pihaknya berhubung keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan demi menyelamatkan Undang-Undang Syariah negara.
PEMBELA memetik kata-kata Dr Zulkifli yang menyifatkan kes Iki Putra Mubarak bakal memberi kesan domino iaitu boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah di peringkat negeri.
Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor namun telah mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal serta membicarakan kes jenayah liwat.