BANGI, Khamis – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) sekurang-kurangnya di empat daripada enam negeri pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) bakal menjadi petanda penolakan pengundi terhadap Kerajaan Persekutuan.
Naib Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, pengundi sudah melihat Kerajaan Persekutuan mentadbir negara selama lapan bulan, justeru menegaskan, tiada sebarang perubahan ketara dari segi impaknya kepada rakyat dan hala tuju negara.
Mohd Rosli juga berkata, jumlah 9.7 juta pengundi adalah satu angka yang signifikan sekaligus mampu memberi ‘isyarat’ kepada pihak kerajaan mengenai prestasi pentadbiran mereka.
“Ia mungkin boleh menjadi satu ‘signal’ kepada Kerajaan Persekutuan bahawa mereka telah menerajui Kerajaan Persekutuan selama lapan bulan tetapi kita lihat, tidak ada suatu yang agak ketara dari segi impaknya kepada rakyat tentang apa yang hendak dibawa ataupun hala tuju nak dibawa negara ini ke arah mana.
“Kalau kita lihat PRN enam negeri ini, sekiranya PN memenangi sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri itu, itu kita boleh kata sebagai satu ‘signal’. ini kerana 9.7 juta adalah satu bilangan pengundi yang begitu signifikan berbanding dengan 21 juta keseluruhan pengundi di negara kita.
“Jadi maknanya hampir 50 peratus pengundi yang mengundi di enam negeri ini, akan memberi satu ‘signal’ kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran video di Facebook rasmi BERJASA Malaysia hari ini.
Mohd Rosli juga menggesa masyarakat agar keluar mengundi sekiranya mahu menggoyangkan Kerajaan Persekutuan kerana peratusan mengundi yang rendah tidak akan membawa sebarang kesan.
Beliau mengharapkan peratus keluar mengundi di kesemua enam negeri sekurang-kurangnya 85 peratus dan ke atas sekiranya ingin menyampaikan isyarat yang jelas kepada pihak kerajaan berkaitan prestasi mereka yang kurang memuaskan.
“Jadi kalau peratus keluar mengundinya itu rendah, jadi itu pun agak mengecewakan dari segi signal yang hendak diberi. So kita harapkan peratus keluar mengundi di enam negeri ini sekurang-kurangnya 85 peratus ke atas, kalau boleh sampai 90 peratus lagi bagus. Kita taknak peratus keluar mengundi ini, hanya dalam lingkungan 70 peratus ataupun 60 peratus.
“Itu akan mengecewakan dan tidak akan menjadi ‘signal’ kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi saya mengharapkan pengundi-pengundi di enam negeri ini keluar beramai-ramai , kita jelmakan dalam bentuk peratus yang tinggi, kalau boleh 85 peratus, iaitu akan memberikan satu ‘signal’ kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada 28 Julai, BERJASA memutuskan untuk tidak bertanding dalam mana-mana kerusi PRU DUN Ke-15, Sabtu ini bagi mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru di kerusi-kerusi kawasan majoriti pengundi Melayu.
Bagaimanapun, Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, mereka tetap berperanan dan penyumbang pada PRU DUN Ke15 dengan melancarkan kempen ‘Melayu Turun Undi’, bagi menunjukkan kesatuan dalam mengangkat pemimpin berwibawa.