BANGI, Khamis – Dua hari sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, manifesto yang dibawa kedua-dua calon bagi kerusi DUN Sungai Ramal menjadi perdebatan.
Calon Pakatan Harapan (PH), Mazwan Johar komited membawa pembangunan infrastruktur manakala Mohd Shafie Ngah dari Perikatan Nasional (PN) lebih fokus kepada pembangunan insaniah.
Namun, manifesto yang dibawa Mazwan dibidas oleh Mohd Shafie yang dilihat tidak tahu masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
“Dia tak faham apa denyut nadi masyarakat Sungai Ramal, pembangunan infrastruktur ini siapa perintah pun akan berlaku terutama negeri yang kaya.
“Sesiapa sahaja yang memerintah pun pembangunan itu akan ada tetapi siapa yang akan menguruskan pembangunan insan terutamanya orang bandar yang memerlukan sokongan untuk membentuk jati diri,” ujarnya.
Jelas Mohd. Shafie, manifesto beliau seiring dengan fokus dalam pilihan raya kali ini iaitu untuk memahami keinginan serta cita rasa golongan muda.
“Orang muda ini mereka nak kita fahami aspirasi dan cita rasa mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TV Pertiwi di Bangi, Selangor hari ini.
Sebelum ini, TV Pertiwi melaporkan bahawa pertembungan kerusi di Sungai Ramal merupakan antara tumpuan kerana kerusi itu akan direbut dua bekas ADUN yang masing-masing berpengalaman dan mempunyai sokongan di kawasan tersebut.