BANGI, Khamis – Lambakan pekerja asing merupakan antara kelemahan yang perlu dibaiki dalam usaha melaksanakan Ekonomi Madani di Malaysia.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia memerlukan pekerja berkemahiran tinggi untuk mencapai status negara maju dan bukannya pekerja asing yang tidak berkemahiran.
“Kalau kita tengok merisaukan kita tarik kumpulan yang salah, yang kita kurang pekerja mahir yang kita dapat pekerja tak mahir.
“Isu pendapatan isi rumah perlu diberi tumpuan lebih untuk diselesaikan berbanding inisiatif mengurangkan harga barang.
“Jadi kalau dilihat kos sara hidup dari kaca mata global Malaysia masih rendah, mereka fokus pada harga tapi masalah kita adalah pendapatan,” ujarnya.
Noor Azlan berkata demikian pada sidang media khas Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat Mencapai Sasaran anjuran MINDA-UKM di Bangi, Selangor semalam.
Beliau juga berpendapat bahawa sistem gaji progresif merupakan usaha yang bagus, namun tidak bertepatan dengan masalah yang dihadapi ketika ini.