SHAH ALAM, Jumaat – Kerajaan Madani disifatkan sebagai indah khabar daripada rupa apabila gagal untuk menunaikan janji mereka memansuhkan undang-undang menyekat kebebasan bersuara iaitu janji dalam manifesto semasa menjadi pihak pembangkang.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali menggelar pihak kerajaan sebagai kakistokratik yang menyekat suara pengkritik-pengkritik, sekaligus mengabaikan hak rakyat di negara demokrasi.
Peguam itu juga menghentam tindakan kerajaan menghadapi kritikan bukan dengan cara balasan maklumat, sebaliknya menyalahguna aparat-aparat kerajaan terutamanya dengan cara ugutan sistematik.
“Rakyat Malaysia harus sedar bahawa kerajaan yang ada kini terlalu lama telah mendendangkan manifesto akan memansuhkan apa yang mereka labelkan sebagai undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara. Indah khabar dari rupa.
“Rupanya rejim kakistokratik ini menekan pengkritik-pengkritik kerajaan dengan menggunakan undang-undang yang sama. Demokrasi bermaksud bersedia untuk menghadapi kritikan dengan balasan maklumat atau ‘contestation of ideas’.
“Bukannya dengan menyalahguna aparat-aparat kerajaan terutamanya dengan ugutan sistematik agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sekatan kebebasan bersuara rakyat di Shah Alam, Selangor hari ini.
Dalam pada itu, pempengaruh media sosial, Salim Iskandar mengherdik pihak kerajaan yang pernah berjanji untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara.
Salim turut menyelar tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menggunakan akaun palsu untuk ‘retweet’ ciapan tertentu di platform Twitter, satu tindakan yang jelas menyalahi undang-undang.
“Kita berada di bawah kerajaan yang satu masa dulu memperjuangkan kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara tuan-tuan. Reformasi.
“Fahmi Fadzil. Dia ini badut ke Menteri saya pun tak tahu. Saya masih siasat lagi. Fahmi Fadzil, dia boleh retweet ‘fake’ akaun, saya nak tanya tuan peguam, bukan ke ‘fake id’ itu merupakan satu kesalahan undang-undang.
“Macam mana kau sebagai Menteri Digital dan Multimedia, boleh ‘retweet’ akaun palsu dan mengatakan bakal ambil tindakan,” katanya.
Pada 7 Ogos, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa kebebasan rakyat untuk bersuara dihadkan hanya kepada menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, perkara itu dilihat bertentangan dengan laungan reformasi yang dituntut Anwar sebelum ini.