BANGI, Jumaat – Penyatuan UMNO dan DAP atas nama kerajaan perpaduan menyebabkan lebih ramai ahli dan kepemimpinan mereka keluar meninggalkan parti itu.
Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memutuskan untuk bergabung dengan DAP menyebabkan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Seremban, Zool Amali Hussin melangkah keluar.
Jelasnya, pemimpin UMNO masih lagi bersama dengan geng ‘Anwarinas’ yang kononnya mempertahankan hak sama rata.
“Pemimpin UMNO ni masih lagi geng ‘Anwarinas’ kononnya mahukan hak sama rata dan terang-terang deklarasi Setapak dah terang-terang menyatakan Malaysian Malaysia. Adakah semua masih lagi tidak faham?
“Yang pelik itu orang-orang yang belajar tinggi dan sempat masuk universiti tetapi masih tidak faham tentang apa perjuangan UMNO dan apa perjuangan DAP sebenarnya.
“Cara DAP menghasut rakyat dan orang lain memang menggunakan cara halus,” jelas Zool.
Zool dalam satu temu bual eksklusif bersama TV Pertiwi di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini berkata tidak pernah terlintas dalam fikirannya, DAP dan UMNO akan tidur sebantal.
Ini kerana sejak berusia 18 tahun, beliau telah didoktrinkan oleh UMNO bahawa DAP adalah sebuah parti komunis.
“Saya dalam politik sudah 25 tahun dalam UMNO. Saya telah didoktrinkan daripada umur saya 18 tahun bahawasanya DAP ini adalah komunis, DAP ini chauvinis dan saya telah dihantar ke kursus ilmun dan Gerak Gempur.
“Kita dtelah ‘dibasuh’ bahawa DAP adalah Komunis dan DAP adalah cauvinis. Itulah UMNO yang mendoktrin. Tiba-tiba selepas 25 tahun itu mereka suruh saya menerima DAP sebagai satu sahabat baik. Mungkin tidaklah bagi saya,” jelas Zool.
Mengambil iktibar daripada penyerahan Singapura kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lee Kuan Yew, Zool tidak mahu episod sama berulang sekiranya UMNO terus bersama dengan DAP.
Tan Sri Lim Kit Siang pada ketika itu juga merupakan Setiausaha Agong PAP yang dihantar ke Tanah Melayu untuk mewujudkan DAP bagi penyatuan Malaysia dan Singapura.