BANGI, Jumaat – Isu berlaitan dengan seorang wanita muslim, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang memfailkan permohonan untuk membatalkan 21 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah terhadap kesalahan jenayah syariah dilihat tidak menjadi sebutan pada masa ini.
Menurut Jurucakap Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya, kesibukkan isu politik sempena Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-15 menyebabkan isu tersebut seolah-olah tenggelam biarpun ia telah mencabar keabsahan Mahkamah Syariah.
“Impak kes ini sangat besar kerana jika wanita itu menang bermakna mahkamah syariah tidak ada lagi kuasa menentukan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut,” jelas Aminuddin dalam kenyataan di laman Facebook.
Malah katanya, kuasa Mahkamah Syariah semakin mengecil dan usaha untuk memartabatkan hukum Islam dalam negara akan semakin terhimpit.
Mengulas lanjut, jelasnya kes Nik Elin adalah rentetan daripada kes Iki Putra melawan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam mencabar keabsahan Enakmen Jenayah negeri.
Dalam kes tersebut, Iki Putra telah menang dan kini dalam proses rayuan oleh pihak MAIS.
Aminuddin juga menganggap bahawa semua ini telah dirancang secara teliti oleh mereka yang tidak mahu melihat agama Islam diperkasakan dalam negara serta perancangan tersebut telah dibuat sejak 10 tahun lalu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan sekarang dan terdahulu tidak melakukan sebarang inisiatif supaya usaha-usaha sedemikian disekat malah, hukuman Mahkamah Syariah tidak pernah dibincangkan di Parlimen.
Lebih-lebih lagi isu ‘strategic litigation’ terhadap peruntukan-peruntukan Islam yang sudah lama bermula.
Justeru, Aminuddin menjangkakan mereka akan terus berusaha bagi memastikan kedudukan Islam akan terus dicabar supaya ia akan terpinggir menjadi tidak lebih daripada amalan ritual seperti agama-agama lain di Malaysia.
Apa yang menyedihkan apabila kenyataan oleh Menteri Agama dibuat setelah diasak berkali-kali oleh NGO Islam sama seperti ‘gerakan-gerakan Islam’ yang berada dalam kerajaan dilihat tidak begitu prihatin dengan isu tersebut seperti ahli politik yang lain.
Apabila menteri mendapat jawatan dan habuan, soal agama serta bangsa dipersetankan dengan mudah dan rela hati.
Lebih teruk lagi, mereka sentiasa bersedia diperkudakan dengan membuat sidang media menyucikan parti tertentu tetapi membisu dalam soal agama, tegas Aminuddin.