BANGI, Jumaat – Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk mengeluarkan golongan asnaf dan anak-anak yatim daripada kepompong kemiskinan.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, golongan asnaf dan anak-anak yatim bukan sahaja menerima bantuan dari segi kewangan tetapi dijamin peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Tambahnya, bantuan yang diberikan adalah bersifat mampan untuk memastikan golongan-golongan yang memerlukan boleh mengubah kehidupan mereka, selaras dengan visi kerajaan untuk menamatkan kemiskinan dalam negara.
“Kita bangunkan program. Contohnya, kita bangunkan program bagaimana kita nak pastikan bantuan yang diberikan kepada golongan asnaf ini, dia berbentuk ‘sustain’ atau kita sebut sebagai kemampanan.
“Bila mana mereka ini tamat pengajian, mereka tak perlu nak bimbang dah. Makna anak-anak ini saya sebut, dia terus berikan tumpuan pada pengajian, tamatkan kepada pengajian, kemudian mereka ini ‘assured’, makna mereka ini ada pekerjaan selepas keluar daripada tiga tahun program diploma tadi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan temu bual Program 60 Minit Bersama di TV Alhijrah semalam.
Pada 31 Januari, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) sebagai inisiatif merealisasikan visi gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’.
Mohd Na’im berkata, proses merangka pelan gerak kerja itu dilakukan melalui libat urus dan kesepakatan ketua agensi hal ehwal Islam serta wakil semua agensi berkaitan.
Tambah beliau, pelan Al-Falah bagi tempoh lima tahun dari 2023 hingga 2027 itu mengandungi lima teras dan 10 fokus gerak kerja
Lima teras itu meliputi Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam sebagai usaha bagi menjayakan visi kerajaan.