BANGI, Jumaat -Janji kosong tanpa rasa tanggungjawab sudah menjadi perkara biasa bagi parti-parti politik yang tamak mengejar kuasa, lebih-lebih lagi sewaktu berkempen di musim pilihan raya.
Malah, golongan ini akan bercakap apa sahaja sehingga kadang kala melakukan perkara di luar kebiasaan demi meraih undi, sokongan dan kuasa.
Bagaimanapun, bagi Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, tindakan itu tidak pelik kerana manusia selalu lupa kepada hukum, nilai moral, akhlak dan pegangan demi untuk mencapai kuasa.
“Dalam perebutan kuasa ini manusia tidak fikir, melanggar semua benda, moral dan hukum.
“Maknanya dia boleh berbohong, menipu, menawarkan apa sahaja. Dia boleh bercakap tentang mencapai bulan dan bintang serta sebagainya,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok, hari ini.
Namun, beliau mempersoalkan adakah semua janji yang ditabur itu bermaksud untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan negara sekiranya mereka mendapat kuasa melalui cara berkenaan.
Justeru, beliau meminta rakyat untuk berfikir sama ada tanggungjawab politik mereka akan terhenti selepas mengundi pada pilihan raya.
“Kena fikir apa yang berlaku lepas pada itu. Apa manfaatnya kembali kepada kita sebagai rakyat, negara, masa depan dan kehidupan kita. Adakah orientasi politik yang ada seperti hari ini akan membawa kebaikan, perubahan dan sebagainya kepada kita.
“Soalan yang perlu difikirkan oleh rakyat selama melaksanakan tanggungjawab pilihan raya, memilih pemimpin melalui cara ini, sejauh mana dia benar-benar ‘reflect’ atau berikan kita pulangan sebagaimana yang kita hendaki,” katanya.