KOTA, Sabtu – Peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan rendah apabila cuaca di sekitar negeri ini dilanda hujan lebat.
Menurut petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bilangan orang keluar mengundi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota setakat jam 10:00 pagi hanya seramai 163 orang.
Walaupun hujan lebat di pusat pembuangan undi masih ada para pengundi yang hadir untuk mengundi calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 hari ini.
Rata-rata petugas di pusat mengundi juga dipercayai sudah bersedia dengan situasi tersebut dengan menyediakan kelengkapan seperti baju hujan dan payung untuk melancarkan proses membuang undi.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Redza kira-kira jam 9:00 pagi tadi.
Beliau turut beramah mesra dengan pengundi yang hadir serta meninjau proses membuang undi di pusat mengundi tersebut.