BANGI, Sabtu – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.
Perbuatan beliau mengundang kritikan pengguna media sosial yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan pilihan pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi SPR.
Mengikut akta berkaitan, perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut Perkara (39) yang menyebut tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.
Akta tersebut selanjutnya menyebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Media melaporkan, kejadian seumpama itu pernah berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Besut tahun 2013, apabila calon BN ketika itu, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman melakukan perbuatan yang serupa dan ditegur oleh Pengerusi SPR ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.