BANGI, Ahad – Barisan Nasional (BN) berpeluang menjadikan Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan jika membentuk kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional (PN).
Perkara sebaliknya akan berlaku jika BN bersama Pakatan Harapan (PH) yang dilihat cenderung mencalonkan semula Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai MB di negeri itu.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 semalam, PH memenangi 17 kerusi DUN manakala BN dan PN masing-masing 14 serta 5 kerusi DUN.
Situasi itu memberikan kelebihan kepada PH untuk menamakan calon mereka sebagai MB tetapi bertukar sebaliknya jika BN bergabung dengan PN untuk membentuk kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chon Kon Yeow mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di Seri Mutiara, Georgetown pagi tadi.
Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Manakala bagi Selangor pula, PH-BN telah melebihi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri namun sebarang tindakan selanjutnya akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Sharafuddin berada di London sejak 28 Julai lalu bagi menjalani rawatan dan pembedahan.
Baginda dijangka pulang ke tanah air pada 15 Ogos depan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu dan Kelantan yang baharu dijangka akan mengangkat sumpah masing-masing pada Isnin dan Selasa depan.