BANGI, Ahad – Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang masalah untuk membina hubungan silaturahim dengan Perikatan Nasional (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) berakhir semalam.
Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, silaturahim merupakan tuntutan agama malah PN sudah menerima hakikat dengan keputusan yang diperoleh.
“Dari sudut hubungan orang kata kemanusiaan, itu tidak jadi masalah ya. Selepas sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) ini akan bertaut semula hubungan silaturrahim sebagai orang Islam dan sesama kita.
“Itu sesuatu yang memang dituntut oleh agama. Cuma persoalan di sini soal politik. Kita sudah menerima hakikat, rakyat membuat keputusan. Kita menghormati keputusan itu,” katanya demikian dalam sidang media PN berhubung keputusan PRU DUN KE15 di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor malam tadi.
Tambah Muhyiddin, PN akan melaksanakan janji-janji yang ditawarkan kepada pengundi seperti yang terkandung dalam manifesto bagi kawasan-kawasan yang dimenangkan mereka.
Jelasnya, ia menjadi keutamaan PN untuk memastikan kepentingan rakyat di negeri berkenaan.
Dalam perkembangan sama, bekas Perdana Menteri itu berkata, kemenangan di kebanyakan kerusi disertai PN menjadi satu peringatan kepada PH-BN.
“Kita sudah suarakan tadi bahawa kita akan teliti dari segi soal berapa undi. Sebenarnya kita belum mendapat maklumat mengira semuanya sekali. Dari segi jumlah kerusi pun satu peringatan penting yang perlu diberikan perhatian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Sudah ada satu gelombang besar yang hendakkan pembaharuan dan perubahan. Jadi, ini perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan yang ada malam tadi,” jelasnya.
Terdahulu, keputusan penuh PRU DUN KE15 yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan PN menang 146 kerusi berbanding PH (80 kerusi) dan BN (19 kerusi).