BANGI, Ahad – Pakatan Harapan (PH) perlu berlapang dada dengan memberikan jawatan Menteri Besar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias atas kejayaan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan.
Cadangan itu disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Faizal Azumu sebagai tanda semangat perpaduan dalam kerjasama antara PH-BN.
“UMNO tewas teruk di semua lima negeri yang lain. Ahli-ahli UMNO tentu berasa kecewa. Jangan pula ahli UMNO dan para penyokongnya dikecewakan, sekali lagi,” jelas Peja.
Peja juga berharap agar Jalaluddin dipilih sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Aminuddin menempelak kenyataan Peja dengan menganggap beliau membuat provokasi dan ingin memecah-belahkan akar umbi PH-BN.
“Itu cadangan dia. Semua berpandangan begitu supaya berpecah belah supaya perkara itu akan memprovokasi ahli kita di peringkat bawah. Saya rasa itu kerja dia lah.
“Kerja dia hendak provokasi orang. Perpaduan yang kita buat hari ini cuba dipermainkan bukan sahaja semasa pilihan raya malah selepas pilihan raya. Tak ada kerja lain nak provokasi orang, itulah Timbalan Presiden Bersatu,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencalonkan Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya memenangi PRU DUN KE15.
Keputusan pilihan raya di enam negeri semalam turut memberikan mandat kepada PH-BN untuk terus mentadbir negeri tersebut.
Bagaimanapun, sehingga kini calon Menteri Besar Negeri Sembilan masih menjadi tanda tanya selepas BN memenangi 14 kerusi DUN manakala PH menang 17 kerusi.