BANGI, Isnin – Kurangnya bahan bacaan yang praktikal dan sesuai untuk murid prasekolah, menjadi sebab utama Guru Bahasa, Nur Hidayah Rashidi, 39 tampil menghasilkan modul bacaan asas yang dinamakan sebagai Modul Asas Membaca Anakku (MAMA).
Nur Hidayah berkata, penghasilan MAMA juga berdasarkan penyelidikannya terhadap murid daripada keluarga B40 yang tidak boleh membaca.
“Hasil kajian sendiri saya dapati selepas sesi persekolahan kembali pulih susulan COVID-19, terdapat segelintir anak-anak keluarga B40 yang tidak boleh membaca.
“Menerusi MAMA, mereka boleh membaca dalam tempoh sebulan sahaja,” katanya.
Nur Hidayah berkata, faktor kekurangan kemudahan dan bahan pembelajaran dikenal pasti sebagai faktor yang menyebabkan mereka tidak boleh membaca.
Justeru katanya, beliau menghasilkan MAMA dengan kaedah yang boleh digunakan guru selain buku membaca dan menulis untuk murid.
Katanya, menerusi kaedah itu murid akan dapat mengenal dan membaca suku kata dan perkataan selain ayat-ayat mudah dalam bahasa Melayu dengan lebih cepat.
Lebih membanggakannya modul yang dihasilkan itu juga sebelum ini pernah berjaya merangkul tiga pingat emas dan satu pingat khas dalam pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Nurhidayah yang kini sedang mengikuti pengajian doktor falsafah dalam bidang Pembelajaran Bahasa Melayu di Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya berkata, modul yang dihasilkan juga dibuat berdasarkan pengalaman dia sebagai penasihat akademik di salah sebuah tadika swasta.
“Modul berkenaan mempunyai inovasi termasuk Kaedah Gabung Bunyi Kata (KGBK) dan teknik multisensori yang mampu membantu murid menguasai bacaan dengan pantas,” katanya – Berita Harian