BANGI, Ahad – MUDA hilang wang deposit selepas semua kerusi yang ditandingi parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 semalam.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya pertama di mana MUDA bergerak solo tanpa sokongan dan pakatan daripada parti politik lain.
Bagaimanapun, beliau beranggapan bahawa kekalahan pada pilihan raya di enam negeri semalam akan menjadi satu pengajaran yang berharga buat parti itu untuk mematangkan mereka.
“Sesungguhnya ini adalah kali pertama MUDA bertanding berseorangan, ini bukan perkara yang mudah khusus dari sudut pendanaan, jentera tetapi ini adalah permulaan untuk kita untuk langkah yang lebih jauh kehadapan.
“Namun, kami juga berpandangan ini merupakan cabaran dugaan yang perlu kami lalui sekarang.
“MUDA mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan akan terus membaiki serta meneruskan komitmen sebagai semak dan imbang bagi rakyat Malaysia sebab itu kekalahan hari ini akan terus mematangkan MUDA dalam matlamat dan misi kami, ” ujarnya.
Antara calon MUDA yang tewas ialah Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long dengan hanya memperoleh 372 undi dan Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi yang hanya memperoleh 1,834 undi di DUN Seri Serdang.
Pilihan raya kali ini turut merekodkan seramai 96 orang calon hilang wang deposit apabila gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Dalam pada itu, dua parti kecil lain iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga gagal memenangi sebarang kerusi di Selangor.