Shah Alam, Ahad – Dengan keputusan pilihan raya enam negeri yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia semalam, Perikatan Nasional menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta merta.
Jelas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemenangan besar yang dimiliki PN itu jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak Kerajaan Madani.
“Kejayaan besar meraih sokongan pengundi menunjukkan UMNO tidak relevan lagi dengan memenangi 19 kerusi, jadi bermakna UMNO kalah teruk dari keseluruhan kerusi.
“PN juga mendapat sokongan bukan Melayu yang membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.
“Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Anwar dan Ahmad Zahid yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta,” ujarnya semasa sidang media PN berhubung keputusan PRU DUN KE15 di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor malam tadi.
Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 semalam mengumumkan keputusan seri apabila kedua-dua gabungan parti besar iaitu Parti Perpaduan (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing berjaya mendominasi tiga negeri.
Perikatan Nasional (PN) menang besar di Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala PH-BN mendominasi Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan.