TERENGGANU, Ahad- Terciptanya sebuah sejarah setelah kerajaan Negeri Terengganu dinobatkan tiadanya pihak pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kemenangan itu sekaligus meranapkan peranan pembangkang di negeri, namun gabungan parti itu memberi jaminan bahawa kerajaan Negeri Terengganu masih boleh berjalan seperti biasa meskipun tanpa pembangkang.
Ekoran itu, selaku Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata isu ketiadaan pembangkang ini bakal diselesaikan oleh pihaknya.
Katanya, ini merupakan masa buat rakyat untuk mengkritik dan memberikan cadangan seumpama pembangkang kepada pihak kerajaan. .
“Saya rasa kita kena lihat dari aspek yang positif, tentunya kerajaan akan mewujudkan backbencher yang bukan sekadar menyokong kerajaan, bahkan juga secara tersusun dapat mengkritik, serta memberikan cadangan kepada kerajaan, seumpama pembangkang jugalah, tapi dilihat dari segi positif ini yang akan dirangka oleh pihak kerajaan, bagaimana untuk menjadikan backbencers peranan yang sedemikian.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Tok Guru Rusila, pada Sabtu.
Ketika diminta mengulas mengenai kerjasama negeri dan kerajaan persekutuan, beliau menjelaskan pihaknya bakal memperincikan beberapa rancangan dan tawaran yang boleh digandingkan bersama demi membaik pulih pentadbiran kerajaan negeri itu.
“ Bab ini kita akan, perincikan dalam satu majlis yang lain lah, sebab ini akan melibatkan, menawarkan beberapa perkara yang akan dilaksanakan selain, daripada janji manis manifesto bagaimana untuk menambah baik pentadbiran, bagaimana untuk menambah baik, kerajaan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, jadi beberapa perincian akan kita sebut dalam beberapa kabinet, negeri dan tentu akan ada majlis bersama dengan, pihak awam ataupun media.
Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai sebarang masalah serta lebih terbuka dengan kerajaan persekutuan dalam apa jua isu dan perkara.
Justeru pihaknya mengharapkan perkara yang sama daripada kerajaan pusat untuk lebih menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat Negeri Terengganu .
Sebelum ini, Perikatan Nasional menang dengan bergaya iaitu sebanyak 32 kerusi berjaya dibolot manakala sisi lawannya pulang dengan tangan yang kosong sewaktu PRU DUN-15 kelmarin.