BANGI, Rabu – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan menggesa penyatuan ummah rentas parti dengan menubuhkan kerajaan tanpa DAP terutamanya di Negeri Sembilan dan Selangor.
Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, pembentukan itu untuk memastikan agama Islam dan hak kaum Melayu tidak digugat oleh DAP yang secara jelas dilihat ditolak oleh pengundi Melayu-Islam.
“Sekiranya calon-calon Melayu Islam di Selangor fokus soal kepentingan Melayu Islam yang perlu dipertahan tanpa kira parti, tanpa DAP.
“Kita perlu bentuk kerajaan penyatuan ummah tanpa DAP maksudnya rentas parti,” ujarnya.
Mohd Zai turut mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR yang dilihat susah untuk berpecah dengan DAP.
Jelas beliau, sekiranya Datuk Seri Amiruddin Shari kekal menjadi Menteri Besar Selangor, adalah lebih baik beliau mengumpulkan pemimpin Melayu-Islam walaupun dari parti berbeza untuk membentuk kerajaan.
“Apa sayang sangat DAP? Amiruddin boleh ajak pemimpin tanpa parti bincang bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab sidang media bersama NGO ISLAM-MELAYU yang menyeru untuk menubuhkan kerajaan penyatuan ummah tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah wakil dari Geng Ustaz, Ustaz Wan Hairul Anuar; Timbalan Pengerusi UMMAH, Prof Dr Kamaruzaman Yusof; Presiden PERKASA, Syed Hassan Syed Ali; Pengerusi Gabungan Sekretariat NGO Islam Selangor, Datuk Nazilah dan Pengerusi UMMAH Negeri Sembilan, Ustaz Rosmin Adam.