BANGI, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu hari ini.
Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, di Kuala Terengganu kira-kira jam 3.18 petang.
Beliau dilantik semula ke jawatan itu selepas PN menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Terengganu itu ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan kerajaan PN.
Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang pada PRN Terengganu untuk dua penggal berturut-turut.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dengan majoriti 17,286 undi selepas memperoleh 20,927 undi, manakala Suhaimi mendapat 3,641 undi.
Buat pertama kali dalam sejarah politik baharu, DUN Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas PN berjaya menyapu bersih 32 kerusi pada PRN yang berlangsung pada Sabtu.