BANGI, Selasa – TV Pertiwi ingin memaklumkan bahawa akaun rasmi TikTok TV Pertiwi telah disekat dan dipadam bermula hari ini.
Berdasarkan notis yang diterima, TV Pertiwi dimaklumkan bahawa alasan disebalik tindakan itu adalah disebabkan beberapa pelanggaran syarat.
Bagaimanapun, pihak TV Pertiwi ingin mempersoalkan tindakan ini kerana pihak kami tidak diberikan penjelasan secara jelas.
Untuk makluman, akaun TikTok TV Pertiwi sebelum ini mempunyai lebih 63,000 Follower serta lebih 600,000 Likes yang mana kandungan disiarkan adalah berdasarkan temu bual panel-panel jemputan berhubung isu semasa.
TV Pertiwi menggesa pihak pengurusan TikTok dan kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital tampil menjelaskan perkara ini kerana sekatan ini hanya berlaku di TikTok sedangkan kandungan sama tidak dikenakan apa-apa tindakan di Facebook atau YouTube mahupun pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
TV Pertiwi selaku sebuah organisasi media bebas sewajarnya diberikan keadilan dan berhak menyiarkan kandungan termasuk mengkritik kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan bersuara.
Setakat jam 1.45 petang, TV Pertiwi masih menunggu maklum balas dari pihak TikTok. Buat masa ini, TV Pertiwi telah mencipta satu lagi akaun untuk memuat naik kandungan terkini menerusi @tvpertiwi2.