BANGI, Isnin – Pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang geli hati dengan desakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kit Siang secara sinis mempertikaikan tindakan Muhyiddin yang dilihat sibuk meminta pemimpin lain meletakkan jawatan, sedangkan bekas Perdana Menteri itu tidak berani mengambil tindakan sama walaupun PN tidak mencapai sasaran untuk membentuk pentadbiran semua enam negeri pada PRN, semalam.
“Saya berasa geli hati dengan gesaan Muhyiddin yang meminta Anwar meletakkan jawatan, namun beliau sendiri tidak meletakkan jawatan walaupun sebelum ini secara gah menyatakan PN boleh menang 5-1, jika tidak 6-0 dalam PRN.
“Tambahan pula, adakah Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila UMNO kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya.
Kit Siang berkata demikian dalam blognya pada Ahad.
Kelmarin, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mendesak Anwar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.
Muhyiddin dilaporkan berkata, ia susulan kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRN, sekaligus menandakan bahawa gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.