BANGI, Isnin – PAS tidak menolak berkemungkinan untuk memfaikan beberapa petisyen pilihan raya terhadap keputusan dan laporan pertikaian yang diterima parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan meneliti keputusan itu dan petisyen akan dibuat dalam waktu terdekat.
Memetik BERNAMA, beliau bagaimanapun enggan menyatakan kawasan yang didakwa berlaku pertikaian terbabit.
“Pas percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.
“Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada PRN Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan menyapu bersih semua 32 kerusi DUN di Terengganu selain memenangi 43 daripada 45 kerusi di Kelantan dan 33 daripada 36 kerusi di Kedah.
Takiyuddin berkata, Pas bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri-negeri yang berada di bawah pentadbiran PN.