BANGI, Rabu – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat tuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan tersebut.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah tersebut menimbulkan pelbagai persoalan sehingga Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama berhubung keputusan itu.
Susulan itu, TV Pertiwi menghubungi Pengamal Undang-Undang, Haniff Khatri Abdulla bagi mendapatkan ulasan lanjut mengenai kes tersebut.

Pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla.
“Dalam kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, memang perbicaraan keempat-empat pertuduhan salah laku jenayah tersebut sedang dan telah dimulakan perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan terdapat lagi dua pertuduhan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) iaitu akibat daripada pertuduhan jenayah asal tersebut.
“Tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu, sekiranya pertuduhan yang dibawa oleh orang yang dituduh itu dikatakan tidak jelas, sehingga pembelaan mungkin tidak tahu apakah pertuduhan sebenar terhadapnya dan menyusahkan, menyukarkan untuk dia menampilkan pembelaan-pembelaan kerana ketidak jelasan tersebut, maka permohonan untuk membatalkan pertuduhan boleh dibuat.
“Apabila perkara itu sampai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang diputuskan, mahkamah telah bersetuju dengan pendapat pihak Muhyiddin bahawa pertuduhan itu dari sudut perundangannya seperti yang diperlukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah memang tidak jelas untuk membolehkan beliau menampilkan pembelaan-pembelaan yang kukuh dari sudut mahkamah. Maka mahkamah berpendapat, seadanya pertuduhan itu ia perlu dibatalkan,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertuduhan itu bermotifkan politik.
APAKAH MAKSUD ‘DILEPAS’ DAN ‘DIBEBASKAN’ DALAM KES MUHYIDDIN?
“Keputusan Mahkamah Tinggi ini bukan perkara yang am tetapi tidak pelik sebab jangan kita lupa, perbicaraan telah bermula di Mahkamah Sesyen dan perbicaraan sedang berjalan di mahkamah tersebut pada ketika itu. Jadi mahkamah boleh berpendapat bahawa perbicaraan telah bermula, maka keterangan telah dimajukan atas pertuduhan yang tidak sah, pertuduhan yang cacat, maka perintah yang wajar seperti mahkamah berikan adalah pembebasan. Jadi itu perkara yang dalam budi bicara mutlak mahkamah, selepas mengambil kira segala alasan, segala tahap perbicaraan di situ.
“Kalau pun pihak pendakwa raya terima keputusan Mahkamah Tinggi dan mereka mahu membuat pertuduhan baharu terhadap Muhyiddin berpandukan keempat-empat pertuduhan jenayah tersebut, mereka tidak boleh sekarang membuat pertuduhan baru, mereka tidak boleh bawa Muhyiddin ke mahkamah di atas fakta pertuduhan yang sama kerana mahkamah telah memberi pembebasan,”
Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada Selasa berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.
JABATAN PEGUAM NEGARA KEMUKA RAYUAN PEMBEBASAN MUHYIDDIN. KOMEN TUAN?
“Oleh kerana mahkamah membatalkan pertuduhan, mahkamah memberikan pembebasan, oleh kerana itulah pihak pendakwa raya mengatakan mereka ingin merayu sebab besar kemungkinan, mereka bukan sahaja tidak berpuas hati dengan pembatalan pertuduhan tetapi mereka lebih tidak puas hati dengan pembebasan.
“Kalau mahkamah buat pelepasan, mereka mungkin tiada masalah, mereka mungkin akan membuat pertuduhan baharu dan membawa semula Muhyiddin ke mahkamah. Jadi sebab itu mereka merayu. Sehingga perkara itu selesai, sehingga rayuan itu di dengar, yang penting rakyat kena faham adalah, Muhyiddin sebenar-benarnya didapati tidak bersalah, bukan sahaja pertuduhan dibatalkan, tetapi beliau dibebaskan.
“Jika perintah ini diketepikan sehingga itu kita kena terima dan rakyat kena hormat keputusan mahkamah bahawa beliau tidak bersalah di atas semua pertuduhan salah guna kuasa.
“Merayu boleh macam mana pihak pendakwaan kata nak merayu tetapi sehingga rayuan itu didengar dan jika rayuan itu dibenarkan sepenuhnya atau pun sebahagiannya iaitu jika dibatalkan perintah pembebasan, maka barulah pihak pendakwa raya boleh memulakan semula terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin,”
ADAKAH KEPUTUSAN INI MEMBERI KESAN KEPADA DUA LAGI KES AMLA DIHADAPI MUHYIDDIN?
“Untuk kefahaman rakyat, pertuduhan AMLA ini tidak berdiri di atas kakinya sendiri, pertuduhan AMLA adalah pertuduhan secondary, AMLA mesti ada pertuduhan jenayah primary iaitu kena ada predicat offense iaitu mana-mana satu atau gabungan empat pertuduhan salah guna rasuah itu mesti dibuktikan dahulu sebelum hasil jenayah itu dikatakan gubahan wang haram.
“Sekarang ini mahkamah telah membatalkan empat pertuduhan primary maka secara automatiknya, sememangnya pihak pendakwa raya tidak mungkin boleh meneruskan dengan dua pertuduhan lagi. Saya percaya sebab itu ihak pendakwa raya yang bertugas iaitu Wan Shahruddin telah memaklumkan beliau akan memohon menyentuh perbicaraan AMLA dahulu sehingga rayuan dibuat,” katanya.
PENGHAKIMAN BERTULIS PENUH DARIPADA MAHKAMAH DINANTIKAN
“Masalah dalam kes ini adalah saya difahamkan oleh pihak media bahawa alasan penghakiman bertulis belum diterima lagi, jadi saya percaya lebih wajar untuk kita menilai alasan-alasan kukuh kenapa mahkamah memberi perintah untuk membatalkan perintah pertuduhan itu dan kedua kenapa mahkamah memberikan perintah pembebasan, bukan sahaja pelepasan kerana dengan pembebasan, sememangnya pendakwa raya tidak boleh membawa kes ini langsung dengan mana-mana pembetulan pertuduhan terhadap Muhyiddin, jadi itu akan dinyatakan dalam alasan kehakiman, mungkin apabila alasan kehakiman telah diedarkan, lebih sesuai untuk kita bincangkan dengan lebih halus.”
ADA PIHAK MENGAITKAN KES INI DENGAN POLITIK. KOMEN TUAN?
“Politik berada di bawah undang-undang. Pada setiap masa Merlembagaan dan mahkamah berada di atas politik. Kalau fakta, peristiwa dan undang-undang menyokong mana-mana orang kena tuduh (OKT), maka sewajibnya mahkamah akan bebaskan seperti mana yang berlaku kepada Ahmad Zahid di Ultra Kirana Shah Alam dan seperti yang berlaku kepada Muhyiddin di dalam kes di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, rakyat kena faham, jangan campur adukkan undang-undang dengan politik, itu salah.
“Walaupun mungkin pihak politik cuba hendak mencampuri, itu kita tidak pasti tetapi mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya dicampuri. Kalau kes Ahmad Zahid adalah bukti, ini (kes Muhyiddin) juga adalah buktinya.
“Kenapa rakyat tidak boleh terima perkara itu? Kenapa rakyat tidak boleh terima bahawa mahkamah adalah berpandukan Perlembagaan dan perundangan? Sedangkan sudah ada pelbagai keputusan yang ditentukan, berpandukan kepada perlembagaan, perundangan dan fakta. Bukan kerana orang-orang politik yang sepatutnya pada setiap masa di bawah kerusi perlembagaan dan undang-undang,” katanya.