BANGI, Rabu – Tindakan kerajaan menyekat hak kebebasan bersuara rakyat bertentangan dengan agenda reformasi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sekatan yang dibuat oleh kerajaan itu hanya akan mematikan demokrasi di Malaysia.
“Saya lihat selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 lalu, suara yang diketengahkan oleh parti pembangkang dan badan bukan kerajaan semakin vokal terhadap apa sahaja tindakan yang dilihat bertentangan dengan semangat ataupun roh reformasi yang ingin diperjuangkan.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub
“Saya juga lihat tindakan sekatan itu sebenarnya merugikan ruang demokrasi yang sepatutnya kita buka selagi tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang,” katanya.
Jelas Dr Mohammad Tawfik, rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai tindakan pemimpin politik sekiranya reformasi yang dijanjikan hanya sekadar omong kosong kerajaan sekarang.
“Bagi saya, sekiranya tindakan ini berterusan rakyat akan menilai semua pemimpin kerana hari ini rakyat sudah matang, mereka akan menilai apa sahaja tindakan pemimpin politik yang bertentangan dengan roh reformasi atau apa sahaja prinsip kebebasan yang dijanjikan kepada mereka sebelum ini,” jelasnya ketika dihubungi TV Pertiwi hari ini.
Semalam, akaun TikTok rasmi TV Pertiwi telah disekat tanpa diberikan sebarang penjelasan.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa media bebas mengkritik kerajaan, namun sebelum ini terdapat dua lagi portal berita yang disekat iaitu MalaysiaNow dan UtusanTV.
Namun, sekatan terhadap UtusanTV ditarik semula sebelum pilihan raya pada Sabtu lalu.