BANGI, Ahad – Kementerian Komunikasi dan Digital memberi jaminan untuk tidak menyekat kebebasan media dalam usaha memberi kebebasan bersuara di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, tiada istilah status dua darjat dikenakan ke atas media rasmi dan media-media lain yang berdaftar di Jabatan Penerangan.
Malah, pihaknya mengambil pendekatan terbuka dan media berhak bertanya soalan kepadanya tanpa sekatan.
“Itu adalah jaminan dan pada masa sama kita tidak boleh benarkan kalau ada maklumat salah atau fitnah termasuk menyentuh aspek 3R untuk dimainkan mana-mana pihak.
“Walaupun ada kebebasan media, kita tidak bebas untuk fitnah atau menyebar maklumat salah,” katanya.
Mengulas mengenai sekatan terhadap portal berita TV Pertiwi, beliau memberitahu akan berhubung dan mendapatkan maklum balas dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Fahmi berkata, media berkenaan sedang dalam siasatan polis dan pihak SKMM.
“Secara prosedurnya tidak boleh memberikan sebarang komen memandangkan siasatan sedang berjalan.
“Jadi saya akan teliti perkara ini, sekiranya perlu kita minta SKMM beri penjelasan, tetapi sekiranya ada aspek penyiasatan, kita tidak akan masuk campur dan memberikan komen berlebihan,” katanya.
Khamis lalu, pengurusan TV Pertiwi melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang didakwa menyekat akses ke portal berita tvpertiwi.com.my.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata, semakan pihaknya menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM): 175.139.142.25.