BANGI, Selasa – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) didakwa melengah-lengahkan waran tangkap yang perlu dikenakan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana terang-terangan melakukan salah satu jenayah perang iaitu pembersihan etnik.
Felo Kanan Akademi Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, sekiranya ICC boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin dengan segera, kenapa tidak kepada Benjamin Netanyahu.
“Tindakan Israel mengebom Gaza di kawasan penempatan awam dan mengarah penduduk di utara Gaza berhijrah secara paksa, bukan sahaja Genosid tetapi pembersihan etnik kerana dalam situasi ini ia adalah salah satu jenayah perang.
“Sama seperti Putin dikenakan waran tangkap oleh ICC kerana memindah kanak-kanak dari wilayah Ukraine ke Rusia, Kalau ICC boleh keluarkan waran tangkap terhadap Putin, saya tidak nampak kenapa masih berlengah-lengah untuk keluarkan waran tangkap kepada Netanyahu kerana ini adalah secara terang-terang sebagai satu jenayah perang antarabangsa,” katanya ketika dihubungi TV Pertiwi pada Selasa.
Untuk rekod, Presiden ICC, Piotr Hofmanski pernah menegaskan sebelum ini dalam kes Putin bahawa, undang-undang antarabangsa jelas melarang perbuatan penjajah memindahkan orang awam dari wilayah yang mereka duduki ke wilayah lain.
Manakala, kanak-kanak pula menikmati perlindungan istimewa di bawah Konvensyen Geneva.
Namun, kenyataan itu dilihat berat sebelah kerana tidak berlaku dalam situasi di Palestin.
Malah, menurut Azmi, kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) juga faktor tindakan ICC dilihat memihak kepada Israel.
“Masih ada sokongan daripada AS, United Kingdom (UK) dan beberapa negara Kesatuan Erropah (EU), maka keputusan ICC itu agak lambat.
“Dalam kita tinjau waran tangkap kepada Putin, keputusan waran tangkap itu begitu cepat kerana desakan daripada negara Eropah dan memang betul kerana ada kuasa besar di belakang Israel tidak mempedulikan kecaman daripada dunia,” katanya.
Menyifatkan tindakan Israel ketika ini adalah di luar perikemanusiaan, Azmi menjangkakan konflik yang berlaku akan berpanjangan lebih daripada dua minggu kerana Israel mahu menawan Gaza sepenuhnya.
Dalam pada itu, Menteri Hak Sosial Sepanyol, Ione Bellara menggesa kerajaan Sepanyol melancarkan petisyen agar ICC menyiasat Netanyahu berhubung dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai yang dirancang di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut pada 7 Oktober oleh Pejuang Hamas.
Setakat ini, angka kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Gaza telah meningkat kepada 2,808 orang dengan 10,859 rakyat yang lain cedera.