BANGI, Rabu – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan terhadap modul bagi aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM), telah diselaraskan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan syarah atau kupasan hadisnya sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.
Beliau berkata, modul aktiviti yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan yang melibatkan pelajar beragama Islam sahaja.
“KPM merancang untuk melaksanakan ke sekolah KPM mulai tahun 2024, KPM telah mengeluarkan surat siaran bertarikh 4 Oktober 2023 sehubungan itu semua pengetua dan guru besar perlu melaksanakan aktiviti penghayatan hadis 40 yang disesuaikan dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.
“Sebab itu syarah yang dibuat bersama Jakim ini sangat penting untuk memastikan pemahaman itu sampai kepada para pelajar ini, katanya.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai dakwaan lima hadis digugurkan daripada modul bagi aktiviti penghayat semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Pada 19 Ogos lalu, KPM melancarkan modul Hadis 40 Imam Nawawi, bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, selain menerapkan kefahaman agama, khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.
Bagaimanapun, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam menyatakan kebimbangan kemungkinan murid bukan Islam perlu mempelajari modul berkenaan, namun KPM menegaskan, bahawa ia sama sekali tidak membabitkan murid bukan Islam.