BANGI, Rabu – Impak kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus telah memberi bebanan kewangan yang serius kepada rakyat di negara ini.
Dalam tinjauan TV Pertiwi di sekitar Kajang dan Bangi pada hari ini mendapati, majoriti rakyat Malaysia menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan yang meningkatkan kadar cukai tersebut dengan kadar yang amat tinggi.
Seorang eksekutif jualan yang dikenali sebagai Vincent berkata, beliau sebagai peniaga begitu terbeban apabila cukai SST dinaikkan kepada lapan peratus yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Sedihlah kita sebagai rakyat biasa, keputusan pun kerajaan buatlah, kalau boleh melepaskan kurangkanlah bebanan itu untuk rakyat,” katanya.
Selain itu, intipati Belanjawan 2024 telah mengkhususkan bahawa sektor makanan, minuman dan telekomunikasi dikecualikan daripada cukai SST.
Walaupun cukai SST dikecualikan daripada tiga sektor berkenaan, Elyana yang merupakan seorang pekerja khidmat pelanggan di Parcel Hub berkata, kenaikan cukai berkenaan pastinya akan meningkatkan lagi bebanan yang ditanggung oleh rakyat.
“Memang cukai in khusus untuk barangan sahaja, tetapi ia juga meningkatkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.” katanya.
Selain itu, seorang penghantar makanan p-Hailing, Mohamad Khairuddin Fakhrul Razi turut berasa amat terbeban dengan kenaikan cukai berkenaan kerana ia mengakibatkan upah pendapatannya semakin merundum dan tidak semewah seperti dahulu.
“Rasa terbeban jugalah, memang terkesan gila-gila, sehingga tidak boleh nak simpan duit ke apa tak cukup, tak rasa macam dulu,” katanya.
Sehubungan itu, ada yang meminta kepada kerajaan untuk mengurangkan kembali kadar cukai SST kepada enam peratus.
“Beban untuk rakyat lagilah, mesti beban untuk rakyat lepastu, kalau boleh err turunkan lagi enam percent.”
Semasa pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, kerajaan bercadang untuk menaikkan cukai SST kepada 8.0 berbanding 6.0 peratus.
Dalam intipati Belanjawan 2024 yang dikendalikan oleh Kerajaan Campuran mendapati, peningkatan kadar cukai SST daripada enam kepada lapan peratus itu dikatakan tidak membebankan rakyat kerana ia bakal diperluaskan dalam sektor perkhidmatan logistik, pembrokeran dan perkhidmatan profesional yang lain.