BANGI, Rabu – Tiada sebarang kes perkahwinan sejenis didaftarkan dalam rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam negeri di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, dari sudut perundangan, Malaysia jelas tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis dan ia tidak boleh didaftarkan.
Jelas beliau, mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, hanya perkahwinan antara lelaki dan wanita dibenar untuk didaftarkan.
“Justeru, dalam rekod Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri, tidak ada satu pun perkahwinan-perkahwinan yang melibatkan sama jenis yang didaftarkan.
“Jadi terdapat perbezaan jelas yang mana perkahwinan yang bertentang dengan undang-undang sedia ada melibatkan lelaki dan perempuan dan lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta sama ada terdapat pendaftaran perkahwinan sama jenis yang direkodkan sejak di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.