HAMPIR dua minggu berlalu sejak serangan pertama dilakukan oleh pejuang Hamas ke atas Israel. Serangan yang tidak dijangka ini telah memalukan penjajah Israel dan sehingga kini, mereka tidak berani masuk bertempur di Gaza melalui jalan darat.
Situasi seperti ini telah kita ikuti sejak puluhan tahun di wilayah rebutan kuasa dunia itu. Selaku umat Islam, hal ehwal semasa bumi Palestin wajib kita ambil peduli dan kita bertindak balas mengikut kapasiti yang termampu.
Kita sering mengangkat slogan kemanusiaan dan merayu agar semua pihak memberikan sumbangan untuk membantu saudara seakidah kita di sana. Sejak puluhan tahun, inilah yang kita laungkan namun hakikatnya, penderitaan mereka tidak pernah berakhir selagi wujud penjajahan rejim Zionis Israel di tanah milik Palestin.
Disebabkan itulah, pada tahun ini, Hamas sendiri memulakan peperangan kerana berobjektif pembebasan Palestin sepenuhnya. Hubungan normalisasi negara-negara Arab kepada negara haram Israel telah tergugat akibat serangan ini. Jika Hamas tidak bertindak, sampai bila keadaan lemah ini akan terus berlaku?
Justeru, Sang Pekaka bersetuju dengan mesej utama yang di bawa oleh Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) iaitu menuntut pembebasan Palestin. Ertinya, Benjamin Netanyahu dan seluruh rakyatnya perlu menyerahkan semula bumi Palestin kepada pemiliknya yang asal.
Ini sahaja jawapan kepada isu kemanusiaan yang kita laungkan selama ini. Tiada penjajahan, tiada kezaliman, tiada kematian. Selagi ada penjajahan, selagi itulah kemelut dan krisis ini akan berterusan.
Cadangan penyelesaian dua negara (two state solution) hanyalah langkah mudah yang berpihak kepada Israel, padahal Israel adalah penjajah dan pendatang haram, tidak berhak seinci pun ke atas tanah perjuangan itu.
Inilah peluang terbaik untuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat slogan pembebasan Palestin. Benar, mengangkat slogan tidak sama dengan mengangkat senjata melawan Israel. Kita sedar keupayaan pertahanan negara, jauh ketinggalan daripada kehebatan tentera Israel. Akan tetapi, dengan mengangkat slogan pembebasan Palestin, ia menunjukkan bahawa Malaysia memimpin pandangan umum mengenai penyelesaian sebenar isu ini.
Apabila Putrajaya yakin dengan solusi ini, maka ia akan didukungi oleh seluruh rakyat Malaysia yang selama ini telah pun celik dalam isu akidah dan kemanusiaan ini.
Hari ini, belum ada mana-mana negara yang serius memperjuangkan naratif pembebasan Palestin melainkan Hamas dan Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin itu sendiri. Jika Anwar berani bersuara mengangkat pendirian ini, nama Anwar dan Malaysia akan tercatat dalam sejarah dunia sebagai salah satu pihak yang jelas dan berani memperjuangkan isu Palestin.
Negara kita sememangnya menolak pengiktirafan negara haram Israel. Tiada pejabat kedutaan Israel di negara kita. Pendirian kita tegas. Kita ada banyak pertubuhan amal yang mengutip sumbangan dan memberikan kesedaran dalam isu Palestin.
Tinggal lagi, kita perlu naik satu lagi tangga, melangkah setapak ke hadapan dengan mengangkat slogan pembebasan Palestin!