BANGI, Isnin – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk kuasa-kuasa besar meredakan sementara konflik yang meruncing di Gaza ketika ini dengan menghentikan serangan di kawasan itu.
Anwar berkata, pembunuhan kanak-kanak, wanita dan rakyat Palestin yang tidak berdosa di Gaza mesti dihentikan segera.
“Malaysia bukanlah negara besar, bukan negara Arab, bukan negara Teluk yang berjiran dengan Palestin tetapi kita bertanggungjawab menyuarakan hati nurani umat serta rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan diaspora dan pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir malam tadi.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,200 rakyat Malaysia itu antaranya turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan; Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Kaherah.
Menurut Anwar, beliau juga kesal kerana negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah seolah-olah ‘tidak mempunyai masa’ untuk menghentikan kezaliman, penindasan serta pembunuhan terhadap rakyat Palestin di Gaza selain bersikap dingin terhadap usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Anwar kini berada di Kaherah dalam lawatan kerja dua hari ke Mesir dan hari ini beliau dijadual menghadap Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed el-Tayeb sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. – BERNAMA