BANGI, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan industri kewartawanan negara bebas tanpa campur tangan asing termasuk mana-mana pihak dalam kerajaan.
Beliau berkata segala kritikan terhadap pentadbiran Kerajaan Campuran termasuk membabitkan dirinya akan diterima.
“Saya dan rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan sekarang membuat keputusan sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas sepenuhnya.”
“Kita bersedia dengan hujah kalau benar ada kelemahan, kita bersedia memohon maaf dan melakukan perubahan. Sebab itu, rakan-rakan, wartawan yang beri sambutan luar biasa hari ini harus menerima kenyataan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, hari ini.
Bagaimana pun beliau menegaskan, kritikan terhadap kerajaan tidak wajar menimbulkan rasa cemas atau takut dalam kalangan pimpinan.
Beliau turut berharap isu membabitkan permusuhan kaum dan menyempitkan risalah agama yang boleh mencetuskan kerosakan serta kekecohan dalam masyarakat tidak dimainkan pengamal media.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut berkata, Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tetapi juga berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa bimbang atau berat sebelah.
Fahmi juga menggesa media tradisional untuk berinovasi dan berubah, seperti menggunakan teknologi baharu dan menerima platform dalam talian selari dengan pertumbuhan pesat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) termasuk dalam industri media.