BANGI, Ahad – Parti PUTRA menyifatkan pendirian Kerajaan Madani terhadap isu kekejaman, kezaliman dan ketidakperikemanusian pendatang haram Israel sebagai ‘tidak telus’ dan ‘tidak jelas’.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pengumuman sebanyak 10 juta Ringgit Malaysia sebagai sumbangan kepada Tabung Kemanusian Palestin tidak mencerminkan kemarahan majoriti warga dunia sejagat sebaliknya ia hanya sekadar menunjukkan simpati secara sepintas lalu.
“Kenapa Kerajaan Malaysia, Wisma Putra tidak memangil duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia dan menyatakan kecaman kutukan di atas perbuatan zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang berterusan,” kata Ibrahim.
Menerusi satu kenyataan di Facebooknya, Ibrahim berkata, melakukan tindak balas Hamas untuk mempertahan hak rakyat Palestin tidak lebih daripada menutup kejahatan Israel yang berterusan merampas tanah-tanah milik rakyat Palestin.
Justeru, PUTRA mendesak kerajaan supaya mengutuk dan mengecam keganasan serta kegilaan Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat dan sekutu Eropah secara langsung dengan cara menyerah nota bantahan rasmi terhadap Israel dan sekutunya.
Ia boleh dilakukan menerusi duta AS di Malaysia dan Duta Malaysia ke AS secara terus serta duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ibrahim berkata, nota bantahan itu perlu diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB dengan segera dan kecaman sama hendaklah diserah kepada sekutu-sekutunya oleh duta-duta Malaysia kepada Presiden Perancis, Perdana Menteri Britain, Canselor Jerman, Presiden India dan Presiden Parlimen Eropah.
Katanya, PUTRA berharap tidak ada permainan wayang atau retorik dalam menangani isu kekejaman serta kejahatan Israel yang sudah berlarutan lebih 75 tahun.
Kekejaman ini akan berterusan tanpa henti dan rakyat Malaysia yang prihatin wajib mengutuk zionis Israel dan sekutunya tanpa henti.