BANGI, Rabu – Bidang kuasa Dewan Undangan Negeri dan Parlimen menjadi faktor utama untuk menyelesaikan masalah pertindihan undang-undang antara Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Syariah.
Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata, bidang kuasa DUN ialah perkara yang melibatkan perintah agama serta orang Islam kecuali beberapa perkara yang tersedia dalam senarai Persekutuan.
“Sebenarnya punca pertindihan ialah kuasa Dewan Undangan Negeri belum lagi di Mahkamah Syariah.
“Bidang kuasa DUN melibatkan perintah agama Islam kecuali perkara yang tersedia dalam senarai persekutuan,” jelasnya.
Jelas Prof Shamrahayu, aplikasi hukuman kesalahan bagi DUN mengelirukan kerana mereka hanya boleh dijatuhkan hukuman bagi kesalahan yang tiada dalam senarai Persekutuan sedangkan kesalahan yang berkaitan agama Islam juga wujud dalam senarai tersebut.
“Maknanya disini ada pertindihan tentang kuasa perundangan DUN dan Parlimen.
“Seperti Iki Putra, mahkamah mengambil kira peruntukan dalam Jadual Kesembilan Butiran 1 yang mana mahkamah mengiktiraf kuasa DUN untuk kesalahan berkaitan perintah agama Islam.
“Mahkamah putuskan Dewan Undangan Negeri hanya boleh membuat keputusan bagi perkara yang tiada dalam senarai Persekutuan.
“Ini agak mengelirukanlah dari segi aplikasinya kerana banyak kesalahan yang berkaitan perintah agama Islam ini wujud dalam perkataan jenayah yang wujud dalam Senarai Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Pertiwi bagi mengulas isu pertindihan kuasa antara Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Syariah hari ini.
Pada tahun 2021, Iki Putra mencabar undang-undang Islam dengan peruntukan jenayah syariah liwat Selangor yang dikatakan kesalahan jenayah adalah kuasa Persekutuan dan dalam undang-undang Persekutuan (Kanun Keseksaan) telah ada kesalahan liwat itu.
Pada Mei 2022, Nik Elin pula memfailkan permohonan untuk batalkan 21 kesalahan jenayah Syariah Negeri Kelantan. Antaranya termasuk liwat, persetubuhan dengan bukan manusia, memusnahkan tempat ibadat, judi dan arak.
Kes ini memberi tamparan hebat kepada Mahkamah Syariah yang sekaligus menyebabkan individu lain pula membuat cubaan untuk membatalkan kesalahan jenayah Syariah yang dikenakan.