BANGI, Ahad – Serangan biadab oleh rejim Israel yang melakukan pencerobohan haram ke atas perkampungan Palestin Al-Mughir tidak sedikit pun menyebabkan rakyat Palestin gentar dan berganjak daripada terus mempertahankan hak mereka.
Memetik Ismaweb.net, Pemimpin Kanan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (HAMAS), Abdul-Hakim Hanini dalam satu kenyataan turut mengutuk penutupan berterusan Israel ke atas perkampungan Palestin Al-Mughir di timur bandar Ramallah, Tebing Barat.
Abdul-Hakim juga mengecam keganasan penceroboh Israel yang dilindungi oleh tentera Zionis terhadap rakyat Palestin di kampung Al-Mughir, timur Ramallah, dan Turmus Ayya di utara Ramallah.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas serangan peneroka ke atas kampung Burqa di barat bandar Nablus.
Sebelum ini, peneroka pelampau Israel telah membakar kenderaan dan tanaman Palestin di Al-Mughir dan Turmus Ayya pada petang Jumaat lalu.
Dalam pada itu, perkampungan Al-Mughir juga telah ditutup dengan ketat oleh Israel selama 15 hari berturut-turut.